Thursday, 7 June 2012

Kedai Rakyat 1Malaysia: 1 Tahun Berlalu


Berdepan dengan isu peningkatan harga barangan semasa dan subsidi, inisiatif Kerajaan menerusi kepimpinan YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) merupakan penawar terhadap peningkatan kos hidup semasa rakyat. Jelas konsep ‘Rakyat Didahulukan’ bukan sekadar slogan.

Bermula dengan pembukaan KR1M yang pertama di stesen LRT Kelana Jaya pada 22 Jun 2011 yang lalu, bilangan KR1M bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Permohonan baru yang meningkat diterima oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuktikan keyakinan pengusaha-pengusaha untuk melabur dan membuka KR1M di samping keyakinan untuk pengguna mendapatkan barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Tambahan lagi, dengan adanya peningkatan pulangan keuntungan antara 30 hingga 40 peratus oleh pemilik KR1M. Menjelang 2020, sasaran 5000 kedai runcit akan ditukar di bawah Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Persepsi mudah dalam masyarakat ialah apabila produk itu murah, maka produk berkenaan adalah tidak berkualiti. MS akui turut berhadapan dengan persepsi ini. Perbandingan harga sebagai contoh; RM 20.50 bagi pek lampin pakai buang bayi (RM40), RM 2.05 bagi setin krimer (RM 2.80), dan RM 6.80 bagi sebotol kordial (RM9.90). Congak mudah, kita dapat melihat penawaran penjimatan harga barangan hampir 50% berbanding jenama lain di pasaran. Inilah subsidi peruntukan RM40 juta setahun disampaikan kepada rakyat dalam bentuk berbeza namun mampu memberikan kesan terhadap pembangunan ekonomi.

Meskipun KR1M pernah berhadapan dengan kontroversi sebagaimana yang dimainkan oleh pihak pembangkang, rakyat tetap menyambut baik KR1M. Pemantauan mutu dan keselamatan produk-produk KR1M oleh Unit Pemantauan Khas dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambahkan lagi keyakinan para pengguna.

Sebagai pelajar, usaha Kerajaan membawa KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di Institut Pengajian Tinggi dinikmati oleh pelajar dengan sebaiknya. Mana tidak, jika mereka yang berpendapatan sendiri berbelanja di KR1M, apatah lagi golongan pelajar yang belum berpendapatan sendiri serta bergantung dengan pinjaman mahupun biasiswa.

Bagi yang masih belum berbelanja di KR1M, datanglah ke kedai-kedai KR1M dan buatlah perbandingan. Bukankah itu lebih baik daripada membuat penilaian atas penilaian orang lain.

p/s: Jika berpeluang mendapatkan produk pada kualiti yang sama dengan harga yang lebih murah, kenapa katakan TIDAK?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...