Sunday 29 July 2012

Hilangnya Nilai Sebuah Kemerdekaan


Tidak lagi seperti dulu.


Hari Kemerdekaan menjelang tiba. Kempen kibarkan Jalur Gemilang juga telah dilancarkan. Namun, mengapa lebih banyak bendera yang bersifat kepartian berbanding Jalur Gemilang? Ke mana hilangnya semangat mengibar Jalur Gemilang baik sahaja di bangunan-bangunan Kerajaan, premis-premis perniagaan, tempat-tempat awam bahkan di rumah?



Tidak dapat dinafikan aura PRU itu semakin kuat. Namun, kenapa semangat kemerdekaan itu tidak diterjemahkan pada ketika ia sedang menghampiri ulang tahunnya yang ke-55?



Itu belum lagi, Jalur Gemilang usang yang masih dikibar ditiang-tiang meski sudah koyak dan lusuh. Sedangkan lebih banyak bendera-bendera kepartian yang lebih gah berkibar berbanding Jalur Gemilang.


Gambaran awal, rasa cinta dan sayang yang telah luntur.


Kemerdekaan itu milik bersama, tanggungjawab bersama.

Ayuh, kibarkanlah Jalur Gemilang
Sila ambil perhatian baik proksi Kerajaan mahupun pembangkang. Kemerdekaan itu milik bersama, maka sepastinya menjadi tanggungjawab bersama. Jangan pula, lembu punya susu, sapi dapat nama.


Sebagai rakyat Malaysia, usah lupa bahawa kita juga bertanggungjawab. Jika orang luar sanggup datang secara haram kerana percaya bahawa negara kita lebih baik daripada negara asal mereka, kenapa tidak kita berbangga atas nikmat aman dan kemerdekaan?


Bukan perlu mengangkat senjata, hanya kibarkan Jalur Gemilang. Belajarlah mencintai dan menghargai nikmat kemerdekaan.



Jenama sebuah kemerdekaan.



Persoalan ketidakpuashatian mengenai tema, logo dan lagu kemerdekaan kini sedang rancak diperdebatkan. Jika pada mulanya tema Janji Ditepati menjadi persoalan dan permainan pihak pembangkang semata, kini logo dan lagu tema kemerdekaan semakin membara ketidakpuashatian rakyat yang pelbagai lapisan dan latar belakang.



Industri kreatif tanah air seolah diperlekeh. Konsep asas sesebuah logo, perlu mudah dan jelas. Logo bertindak menjadi ‘branding’ akan sesuatu produk. Analogi mudah. Jika logo tidak menarik atau telah menimbulkan banyak andaian negatif, adakah mungkin pelanggan akan memilih produk kita? Ada sesiapa yang melabur untuk rugi?

Janji sudah ditepati, kini masa balas budi?  Bagi MS, bait inilah yang memberikan impak paling tinggi dalam lirik lagu ini. Asas yang mencacatkan hingga wujudlah momentum yang memberi kredit kepada pihak lawan. 

Pertemuan PM bersama kepimpinan anak muda
Kredibiliti yang bertanggungjawab mula dipersoalkan. Kenapa? Mengapa? Bagaimana? Siapa? Pelbagai persoalan penuh tanda tanya. Biar siapapun yang terlibat, sepastinya kepimpinan perdana yang akan menerima tempiasnya. Jangan kerana kepentingan sendiri, tergadai perjuangan. Landasan perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air.

Kepimpinan mahasiswa juga telah turut bersuara, memohon keprihatinan kepimpinan negara berhubung isu ini. Bersuara dengan matang atas dengan aspirasi mahasiswa, tiada perlu panjat pagar. Inilah anak muda pewaris bangsa.

Jika mereka yang pro kerajaan sudah mula rasa sesuatu, apatah lagi yang sebaliknya. Jelas, tindakan perlu diambil segera.


Esok yang lebih baik.

Memenangi hati rakyat tidak patut didefinisikan dengan membeli hati rakyat semata-mata. Ia lebih daripada itu.

Usah lupa, kunci kuasa merdeka itu ada pada rakyat dan bakal diterjemah. Bukan sekadar menepati janji, bahkan merealisasi hari esok yang lebih baik.



Masa hadapan tentunya berbeza dari masa lalu. Kita tidak akan dan tidak boleh kembali kepada masa lampau. Oleh itu, kita mesti belajar cara untuk menghadapi masa hadapan kerana pelajaran masa lalu tidak mampu memberi jawapan. -Charles Handy



Thursday 26 July 2012

Dilema Melayu: Melayu Kini Rasis


Hampir beberapa kali juga MS memainkan video bicara Tun ini. Cuba mencari dan memahami setiap bait pertuturan Tun. Seperti biasa, setiap bicara Tun tidak dapat dinafi tidakkan, ia benar dan sinis.




Persoalan yang menarik perhatian MS apabila Tun berkata mengenai persepsi orang ramai, apa perlunya mereka menyokong orang yang mementingkan diri sendiri?
(Diri sendiri merujuk kepada kepimpinan UMNO)


Tertarik apabila ada yang mengatakan jika UMNO gagal mencari remedy yang tepat untuk mengubati penyakit dalam UMNO, maka UMNO akan parah.

UMNO sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu. Asas fahaman yang jelas dalam namanya sendiri. Memperjuangkan Melayu itu juga bermakna memperjuangkan Islam kerana Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Itu realiti di negara kita. Adakah kerana menyokong hukum hudud baru layak menjadi Islam? Bagaimana hukum qisas dan ta’zir? Kenapa tidak pula Melayu itu menjadi satu?

Siap sedialah kita untuk digelar rasis hanya kerana apabila kita bercerita tentang orang Melayu, bangsa kita sendiri. Saat kita dituduh rasis, adakah mereka tidak rasis? Mereka juga berjuang untuk kepentingan bangsa mereka.

Dilema Melayu kini dikatakan berpunca perpecahan orang Melayu yang tidak lagi mengutamakan bangsa Melayu dan kerana Melayu telah lemah dan takut untuk mempertahankan bangsa kita sendiri. Benarkah?

Kita sukar mengaku tentang kelemahan dan kesilapan yang dirasakan boleh mengaibkan. Terus akan sembunyi dan menidakkan. Terlalu berbunga bila menegur sehingga keliru dengan tindakan. Jika benar ia satu budaya, berubahlah sebelum kita lali dan imun.

Pernah satu ketika di sebuah pasaraya, MS ternampak 4 orang anak muda Melayu yang bekerja sebagai jurujual sebuah syarikat buku cerita kanak-kanak dimarah dan dimaki di hadapan kedai oleh penyelia mereka yang berbangsa Cina. MS pernah juga terserempak situasi yang sama beberapa kali di tempat lain. Mungkin benar, mereka adalah pekerja dan dimarah kerana kerja. Itu baru kuasa sebagai tauke atau bos dan Melayu sebagai kuli. Namun, ada pernahkah kita terfikir jika mereka mempunyai kuasa memerintah? Jika nak dibanding orang kita, pasti kita akan marah dan menegur tapi tidaklah sehingga memalukan di tempat terbuka.

Harini kita masih ada kuasa, esok lusa belum tentu. Puncuk pangkalnya, berbaliklah kepada perjuangan berlandaskan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

‎"Baik buruk bangsa Melayu bergantung kepada orang Melayu itu sendiri. Kalau mereka hapus, itu pilihan mereka,". -Tun M

Rasiskah? Usah malu bercerita tentang bangsa sendiri.

Wednesday 11 July 2012

Bersedia Dengan Lampu Kuning


Keghairahan ke Putrajaya

Semakin hari, dapat dilihat bertubi-tubi cubaan untuk menggulingkan kerajaan. Buktinya baru-baru ini insiden mengamuk di Jabatan Perdana Menteri oleh pasangan yang boleh disifatkan sebagai hilang akal. Berderet-deret tujahan peluru ditujukan kepada pemimpin nombor satu negara, YAB Perdana Menteri. Baik kepada Datuk Seri Najib, isteri dan keluarga. 

Ghairah nampaknya pembangkang memainkan isu. Sebut sahaja, Scorpene, kematian Altatuya, cincin Rosmah, dan macam-macam lagi telah dimainkan oleh pembangkang. Andaian mudah, pembangkang sudah terdesak dan mati punca kerana hanya tertumpu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib semata-mata. Mereka tidak dapat menidakkan bahawa Kerajaan yang ada hari ini gagal membawa kenikmatan dan kemajuan. Ya, janji sudah ditepati.

Kebalkah pembangkang sehinggakan mereka terus dan terus menembak? Berapa banyak stok peluru mereka?


Jangan gali banyak lubang, hingga lupa kambus lubang sendiri

Pembangkang usah lupa bahawa mereka juga ada kain yang perlu dijaga. Isu-isu moral dan akhlak pemimpin-pemimpin mereka juga jangan ditutup sebelah mata. Belum lagi dengan janji-janji yang manis masih tertunggak.

Kemenangan yang lepas mungkin hanya peluang bagi mereka untuk mengukur baju di badan sendiri. Rakyat tidak buta untuk menilai. Buktinya lihat sahaja bagaimana negeri-negeri yang dipegang oleh mereka.

Paling tidak wajar apabila hukum agama diperkaitkan dengan kepentingan politik. Itu belum lagi isu-isu sensitif yang sengaja dimainkan.


Sulit dan rahsia  

Berteka-teki dengan apa yang sulit dan rahsia namun berada di tangan pembangkang menimbulkan rasa kemusykilan terhadap ‘pemegang-pemegang amanah’. Biar pecah di perut, jangan pecah di perut. Benarkah setiap pemegang amanah ini seperti itu? Jika benar, mana mungkin hitam putih di tangan mereka yang tidak sepatutnya? 

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Adakah sekadar kecuaian atau inilah konspirasi pembangkang?

Tertarik dengan kata-kata Tun Dr Mahathir.
Ini adalah tabiat orang Melayu lama yang mana bila ada orang tawar duit, dia akan jual negerinya seperti di Pulau Pinang, Singapura dan beberapa lagi. Maka jadilah apa yang dikata orang ‘sejarah berulang dengan sendirinya.

Harapnya, bukanlah orang Melayu yang menjadi dalangnya.


Penjawat awam

Penjawat awam seharusnya faham dengan aspirasi Kerajaan. Jika tidak, masakan pula kita mengharapkan pembangkang untuk membawa aspirasi Kerajaan?

“Undi saya adalah untuk yang telah membuatkan saya mampu menyara dan membesarkan keluarga saya selama ini,”. – Pesara guru

Kependudukan di Malaysia harini hampir mencecah 24 juta di mana 1.4 juta merupakan penjawat awam dengan majoritinya berbangsa Melayu. Sekiranya ada penjawat awam yang mempunyai kepentingan tertentu, undurlah diri sebelum jadi anjing yang tak kenal tuan. Beri peluang kepada mereka yang lebih layak.


Jangan diam diri

Jika kita ingin menang, jangan hanya diam diri. Selongkar dan pegang terus petualang yang ada. Jangan terus singkir hingga mereka terlepas. 

Terus berhati-hati, lagi-lagi apabila berhadapan dengan isu yang melibatkan keselamatan. Baik dari segi dokumentasi, ahli-ahli, perjumpaan dan segala perkara yang berkaitan. Tambahan lagi dengan kecanggihan gajet masa kini. Jika terlalu ambil mudah, itulah peluang bagi mereka.

Berpeganglah pada prinsip kerahsiaan dan kepercayaan.

Cabarannya kini adalah untuk berhadapan dengan persepsi. Bila pembangkang mula bermain dengan persepsi rakyat, pastikan rentak permainan dalam kawalan. Tangani lebih awal. Jika tidak, lebih susah untuk memperbetulkan persepsi yang telah didonktrin.

p/s: Sekalian yang ada, terus bersedia. Demi Alif, Ba & Ta.

Monday 9 July 2012

AWAS, Melayu Akan Hilang Di Dunia?


APABILA TUN M BERBICARA TENTANG DILEMA MELAYU

“Kita sekarang sudah sampai ke satu tahap di mana nak sebut Melayu pun sudah menjadi kesalahan. Kalau kita sebut Melayu akan ada pihak mengatakan kita perkauman. Jadi kita tidak boleh pertahan diri kita. Inilah dilema yang paling besar dihadapi oleh orang Melayu ketika ini.”- Tun M.

Kalau dahulu kita boleh bercakap mengenai masalah orang Melayu dan bagaimana nak mengatasinya dan saya boleh tulis mengenai perkara ini. Orang pun tidak akan kata saya rasis. Tetapi sekarang ini jika saya cakap Melayu sahaja orang akan kata saya rasis. Sebaliknya jika mereka bercakap mengenai kaum mereka, itu tidak pula dianggap perkauman. Saya berpendapat bahawa kita sudah kaku dan tidak boleh menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian kita dahulu tetapi kita tidak jawab. Bila tak jawab maka mereka akan membuat lebih banyak lagi tuntutan. Jika dahulu untuk masuk kerja kerajaan diploma hanya melibatkan universiti awam tetapi sekarang ini diploma daripada Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima. Ini semua kerana kita mahu undi. Semua perkara yang berlaku ini adalah kerana kebodohan orang Melayu kerana kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sebuah negara maka mereka akan berkuasa. Namun kini sebaliknya mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah. Kini berpecah lebih daripada tiga kelompok dan dengan itu untuk menang maka mereka memerlukan sokongan kaum lain.

Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah maka apa yang orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi. Parti lawan juga ikut sama berjanji macam-macam. Maka semua orang berlumba-lumba nak berjanji. Sebenarnya mereka (pembangkang) nak bagi negara ini dan akhirnya akan menjadi seperti Singapura. Kalau di Singapura tak apalah sebab orang Melayu adalah minoriti tetapi di negara ini orang Melayu adalah majoriti tetapi berpecah belah kerana apa? Sebabnya ada orang nak jadi Perdana Menteri. Ini adalah tabiat orang Melayu lama yang mana bila ada orang tawar duit, dia akan jual negerinya seperti di Pulau Pinang, Singapura dan beberapa lagi. Maka jadilah apa yang dikata orang ‘sejarah berulang dengan sendirinya’. Orang Melayu bukan tidak tahu sejarah ini dan tahu perkara ini salah tetapi kerana tamak nak jadi Perdana Menteri, maka dia sanggup membiarkan orang Melayu lingkup malah menghapuskan orang Melayu pun tidak mengapa. Asalkan dia dapat menjadi Perdana Menteri. Kita tengok sendiri Anwar bagaimana dia mahu menghapuskan DEB dan sebagainya. Ini dilakukan kerana nak dapatkan undi orang Cina.

Saya bukan menentang orang Cina tetapi kita perlu adil berdasarkan negara ini. Dalam perlembagaan kita ada disebut dua perkara iaitu pertama Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Islam pula adalah agama rasmi negara tetapi agama-agama lain bolehlah diamalkan. Selain itu, kedudukan orang Melayu istimewa dan dilindungi oleh Perlembagaan dan orang bukan Melayu juga dilindung dalam Perlembagaan. Maka mereka boleh menggunakan bahasa, sekolah dan budaya mereka dan dengan ini mereka juga tidak perlu menguasai bahasa kita pun. Tetapi jika kita pergi ke AS, bahasa kebangsaan adalah bahasa Inggeris tetapi di negara ini kita pula kena cakap beberapa patah bahasa ibunda kaum lain dalam ceramah dan perjumpaan. Jadi di mana kedudukan bahasa kebangsaan kita?

Bila saya bercakap mengenai perkara ini mereka kata saya rasis, tetapi kenyataannya inilah yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan. Jika mereka nak lebih, mereka perlu juga bagi lebih kepada kita, jadi barulah ia seimbang. Katalah jika mereka hendak hapuskan hak keistimewaan orang Melayu maka mereka juga perlulah hapuskan keistimewaan seperti tidak boleh menggunakan bahasa mereka atau sekolah jenis kebangsaan. Malangnya orang Melayu sekarang ini tidak boleh bercakap mengenai hal ini dan kalau dihentam orang Melayu hanya sekadar pertahan. Bila kita pertahan maka orang lain akan nampak segala ‘bintik-bintik hitam’ yang ada di muka kita.

Sumber: Malay Delima

++
Sungguh, MS berbangga lahir sebagai Melayu Islam di tanah merdeka. Sayangnya, Bumi dipijak milik orang. Indahnya kalau kita semua bangkit jadi satu.

Benarkah Melayu takkan hilang di dunia? Mungkinkah Malaysia akan jadi seperti Singapura?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...