Monday, 9 July 2012

AWAS, Melayu Akan Hilang Di Dunia?


APABILA TUN M BERBICARA TENTANG DILEMA MELAYU

“Kita sekarang sudah sampai ke satu tahap di mana nak sebut Melayu pun sudah menjadi kesalahan. Kalau kita sebut Melayu akan ada pihak mengatakan kita perkauman. Jadi kita tidak boleh pertahan diri kita. Inilah dilema yang paling besar dihadapi oleh orang Melayu ketika ini.”- Tun M.

Kalau dahulu kita boleh bercakap mengenai masalah orang Melayu dan bagaimana nak mengatasinya dan saya boleh tulis mengenai perkara ini. Orang pun tidak akan kata saya rasis. Tetapi sekarang ini jika saya cakap Melayu sahaja orang akan kata saya rasis. Sebaliknya jika mereka bercakap mengenai kaum mereka, itu tidak pula dianggap perkauman. Saya berpendapat bahawa kita sudah kaku dan tidak boleh menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian kita dahulu tetapi kita tidak jawab. Bila tak jawab maka mereka akan membuat lebih banyak lagi tuntutan. Jika dahulu untuk masuk kerja kerajaan diploma hanya melibatkan universiti awam tetapi sekarang ini diploma daripada Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima. Ini semua kerana kita mahu undi. Semua perkara yang berlaku ini adalah kerana kebodohan orang Melayu kerana kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sebuah negara maka mereka akan berkuasa. Namun kini sebaliknya mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah. Kini berpecah lebih daripada tiga kelompok dan dengan itu untuk menang maka mereka memerlukan sokongan kaum lain.

Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah maka apa yang orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi. Parti lawan juga ikut sama berjanji macam-macam. Maka semua orang berlumba-lumba nak berjanji. Sebenarnya mereka (pembangkang) nak bagi negara ini dan akhirnya akan menjadi seperti Singapura. Kalau di Singapura tak apalah sebab orang Melayu adalah minoriti tetapi di negara ini orang Melayu adalah majoriti tetapi berpecah belah kerana apa? Sebabnya ada orang nak jadi Perdana Menteri. Ini adalah tabiat orang Melayu lama yang mana bila ada orang tawar duit, dia akan jual negerinya seperti di Pulau Pinang, Singapura dan beberapa lagi. Maka jadilah apa yang dikata orang ‘sejarah berulang dengan sendirinya’. Orang Melayu bukan tidak tahu sejarah ini dan tahu perkara ini salah tetapi kerana tamak nak jadi Perdana Menteri, maka dia sanggup membiarkan orang Melayu lingkup malah menghapuskan orang Melayu pun tidak mengapa. Asalkan dia dapat menjadi Perdana Menteri. Kita tengok sendiri Anwar bagaimana dia mahu menghapuskan DEB dan sebagainya. Ini dilakukan kerana nak dapatkan undi orang Cina.

Saya bukan menentang orang Cina tetapi kita perlu adil berdasarkan negara ini. Dalam perlembagaan kita ada disebut dua perkara iaitu pertama Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Islam pula adalah agama rasmi negara tetapi agama-agama lain bolehlah diamalkan. Selain itu, kedudukan orang Melayu istimewa dan dilindungi oleh Perlembagaan dan orang bukan Melayu juga dilindung dalam Perlembagaan. Maka mereka boleh menggunakan bahasa, sekolah dan budaya mereka dan dengan ini mereka juga tidak perlu menguasai bahasa kita pun. Tetapi jika kita pergi ke AS, bahasa kebangsaan adalah bahasa Inggeris tetapi di negara ini kita pula kena cakap beberapa patah bahasa ibunda kaum lain dalam ceramah dan perjumpaan. Jadi di mana kedudukan bahasa kebangsaan kita?

Bila saya bercakap mengenai perkara ini mereka kata saya rasis, tetapi kenyataannya inilah yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan. Jika mereka nak lebih, mereka perlu juga bagi lebih kepada kita, jadi barulah ia seimbang. Katalah jika mereka hendak hapuskan hak keistimewaan orang Melayu maka mereka juga perlulah hapuskan keistimewaan seperti tidak boleh menggunakan bahasa mereka atau sekolah jenis kebangsaan. Malangnya orang Melayu sekarang ini tidak boleh bercakap mengenai hal ini dan kalau dihentam orang Melayu hanya sekadar pertahan. Bila kita pertahan maka orang lain akan nampak segala ‘bintik-bintik hitam’ yang ada di muka kita.

Sumber: Malay Delima

++
Sungguh, MS berbangga lahir sebagai Melayu Islam di tanah merdeka. Sayangnya, Bumi dipijak milik orang. Indahnya kalau kita semua bangkit jadi satu.

Benarkah Melayu takkan hilang di dunia? Mungkinkah Malaysia akan jadi seperti Singapura?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...