Thursday, 10 January 2013

Kalimah ALLAH Bukan Untuk Mereka




Penggunaan kalimah Allah telah dijelaskan kedudukannya bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk umat Islam semata-mata. Kebangkitan semula isu tuntutan penggunaan kalimah Allah ini oleh Lim Guang Eng baru-baru ini kepada Kerajaan Pusat jelas lebih bersifat permainan politik. Ya, oleh dia yang sepastinya bukan beragama Islam.

Mereka menuntut agar God dalam Bible yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu perlu menggunakan kalimah ALLAH dan bukannya Tuhan.

Persoalan mudah, sila minta anak-anak kecil untuk menterjemah God dalam Bahasa Melayu? Tidak kira baik yang beragama Islam mahupun translate bukan Islam. Adakah God dalam Bahasa Melayu itu Allah? Cuba pula guna aplikasi google. Apakah terjemahan God dalam Bahasa Melayu? Cuba jangan tak cuba.

Penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah diwartakan eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U (A) 15/82 dan pekeliling KKDN S.59//3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Jemaah Menteri yang telah bermesyuarat pada 3 Januari 2008 juga telah memutuskan perkara yang sama. Ini juga rentetetan daripada tuntutan Gereja Katolik yang menuntut penggunaan kalimah Allah pada 2007.

Kita perlu faham penggunaan kalimah Allah yang telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam itu berbeza. Hal ini kerana kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, bukannya bersifat tauhid. Situasi kita kini ternyata sangat berbeza.

Mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini. Penggunaan perkataan seperti kalimah syahadat, Allah dan Kaabah telah dikanunkan sebagai suatu hak istimewa untuk Islam sahaja. Jelas dalam perundangan dan terdapat fatwa yang telah dikeluarkan. Namun, kenapa pula hendak dibenarkan penggunaan kalimah Allah itu?
Seorang pemimpin dalam twitternya berkata, agama tidak perlukan ketua. Bagi MS beliau tidak faham serta menafikan Raja dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam seterusnya menidakkan Perkara 3 dalam Perlembagaan.

Ada juga mereka yang berbangsa Kristian memohon agar Kerajaan menarik balik larangan penggunaan kalimah Allah kerana baginya tindakan Kerajaan hanya akan menimbulkan kekacauan bahkan mungkin juga darurat akibat rusuhan kaum.

Sayang, mungkin mereka terlupa Perkara 3 dan realiti bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Buat mereka yang berbangsa dan beragama lain, perlulah faham dan menghormati. Kita saling memahami, saling menghormati barulah keamanan dalam kepelbagaian di Malaysia ini terpelihara.

Kesepakatan umat Islam perlu dalam memenangi isu ini. Benar menjadi tanggungjawab Kerajaan dalam menangani isu ini. Namun perselisihan pendapat oleh mereka yang digelarkan sebagai ulamak, yang bersetuju penggunaan kalimah Allah ini digunakan oleh mereka yang bukannya beragama Islam adalah amat mengecewakan.

Fatwa-fatwa tentang penggunaan kalimah Islam seolah-olah hanyalah untuk dipermainkan. Mungkin yang tidak beragama Islam tidak tahu, tetapi bagaimana pula dengan kepimpinan yang kononnya berlandaskan Islam tetapi menyokong agar dibenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam? Bukankah akidah mereka akidah Trinity? Mereka ada Tuhan Bapa, anak tuhan?

Sesungguhnya Allah Maha Esa. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...